Friday, March 23, 2012

Parlimen Malaysia

 


Tahukah anda bahawa Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat?


YANG DI PERTUAN AGONG.
 Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.

Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya.

Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu. Walau bagaimanapun , Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan itu dari masa ke semasa.

Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum.

Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan, dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya.

DEWAN RAKYAT.
 Dewan Rakyat mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama lima tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan.
Kelayakan menjadi ahli adalah seperti berikut:-
Warga negara Malaysia
Tidak kurang dari 21 tahun
Waras fikiran
Bukan seorang muflis
Tidak mempunyai rekod jenayah
Seorang ahli tidak boleh memegang jawatan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam satu masa.
Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan.

DEWAN NEGARA.
 Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli. Dewan Negeri terbahagi kepada dua kategori seperti berikut:-
26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli).
44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putra Jaya.

Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah:-
 * warganegara Malaysia
* tidak kurang dari 30 tahun
* waras fikiran
* bukan seorang muflis
* tidak mempunyai rekod jenayah

Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.

Kedudukan Dewan Negara tidak berubah dengan pembubaran Parlimen. Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti ataupun berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli.

Setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahan Perlembagaan.

Maklumat Umum.

SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA.
 Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Parlimen ialah institusi terunggul dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi. Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat dirasmikan buat pertama kalinya pada 11 September 1959.

Berikut ialah peristiwa-peristiwa penting ke arah pembentukan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen:

1867:
Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat ditubuhkan berikutan perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka) dari Syarikat India Timur Inggeris ke Pejabat Kolonial. Majlis merupakan institusi pertama di negara yang mengadakan perbahasan dan perbincangan seperti ciri-ciri Parlimen moden.

1896:
Negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan membentuk satu gabungan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Perkembangan ini merintis jalan ke arah pembentukan satu sistem Kerajaan Persekutuan bagi seluruh negara seperti yang ada sekarang. Badan Perundangan Pusat masih belum wujud dan setiap negeri bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk membuat undang-undang.

1909:
Majlis Mesyuarat Persekutuan (Federal Council) bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibentuk dengan pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas Parlimen. Majlis ini mempunyai 13 orang ahli yang dilantik termasuk Raja keempat-empat Negeri Melayu Bersekutu, Residen Jeneral British, keempat-empat Residen British serta empat orang ahli tidak rasmi. Penubuhan Majlis ini merupakan satu langkah ke arah pemerintahan sistem demokrasi berparlimen.

1927:
Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu berhenti menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Tempat Raja-Raja digantikan dengan empat orang ahli tidak rasmi. Perubahan terus berlaku melibatkan bilangan serta tanggungjawab ahli Majlis. Majlis merupakan satu-satunya badan yang dilantik sepenuhnya sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada Disember 1941.

1942:
Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1942-1945) menyebabkan terhalangnya perkembangan perlembagaan tetapi peristiwa itu telah melahirkan kesedaran politik dalam kalangan masyarakat.

1946:
Sebuah Majlis Penasihat (Advisory Council) dibentuk dan dianggotai oleh 13 orang ahli mewakili Negeri-Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat - Melaka dan Pulau Pinang. British cuba menyatukan ketiga-tiga sistem pentadbiran (Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Negeri Selat - Pulau Pinang dan Melaka) melalui rancangan Kesatuan Malaya {Malayan Union). Malayan Union ditentang hebat terutama oleh orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, Yang Dipertua UMNO ketika itu. Malayan Union ditentang kerana diyakini akan menggugat kedaulatan Raja-Raja Melayu.

1948:
Penentangan terhadap Malayan Union menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Melalui perjanjian ini Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dengan jumlah ahli yang dilantik seramai 75 orang (3 ahli ex-officio, 11 orang ahli dari Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat, 11 orang pegawai British dan seramai 50 orang ahli tidak rasmi). Buat pertama kali Majlis Perundangan mempunyai kelebihan dua pertiga bilangan suara ahli tidak rasmi.Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 merupakan satu langkah British untuk merangka dasar-dasar asas kerajaan berparlimen.

1951:
Sistem Ahli (Member System) yang menjadi perintis kepada sistem kerajaan berkabinet/Jemaah Menteri seperti yang ada pada hari ini diperkenalkan. Dalam sistem ini ahli-ahli diberikan beberapa portfolio di bawah tanggungjawab mereka.

1952:
Raja-Raja Melayu telah mengurniakan sebuah Cokmar kepada Majlis Perundangan Persekutuan. Cokmar mempertingkatkan lagi status Majlis kerana Cokmar merupakan satu lambang keagungan, kehormatan sinonim dengan kebesaran sistem demokrasi berparlimen.

1953:
Pesuruhjaya Tinggi berhenti mempengerusikan Majlis dan tempat beliau digantikan dengan Yang di-Pertua yang dilantik iaitu Dato' Sir Mahmud bin Mat.

1955:
Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dibubarkan untuk membolehkan Kerajaan mengadakan pilihan raya umum buat pertama kalinya bagi memilih ahli-ahli untuk mewakili rakyat di Majlis Perundangan Persekutuan.
Dalam pilihan raya umum pada Julai 1955 Parti Perikatan, gabungan UMNO, MCA dan MIC berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang telah dipertandingkan.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan beliau membentuk Kabinet atau Jemaah Menteri Pertama Tanah Melayu.
Ahli Majlis Perundangan Persekutuan bertambah kepada 98 orang iaitu 52 orang yang dipilih melalui pilihan raya umum (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), 35 orang ahli yang dilantik mewakili kepentingan-kepentingan tertentu, dan 11 orang lagi terdiri daripada Menteri Besar dan wakil-wakil negeri. Ini ialah satu tanda kemajuan yang besar dalam perkembangan sistem pentadbiran demokrasi berparlimen tanah air.

1956:
YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Tanah Melayu mengetuai satu misi ke London untuk menuntut kemerdekaan. Kerajaan British bersetuju supaya sebuah kerajaan sendiri yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ehwal dalam negeri dimulakan dengan serta merta.

1957:
Satu Perlembagaan bagi Tanah Melayu telah digubal oleh badan bebas terdiri daripada pakar undang-undang beberapa buah negara Komanwel yang diketuai oleh Lord Reid. Perlembagaan diterima sebulat suara oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Sistem demokrasi berparlimen yang berpandukan model Westminster adalah yang terbaik bagi negara ini.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama dengan Jemaah Menteri seramai 12 orang.
Pada 31 Ogos 1957 pengisytiharan kemerdekaan diadakan di Stadium Merdeka. Majlis Perundangan Persekutuan menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah Dewan Parlimen sehingga dibubarkan pada Jun 1959.

1958:
Satu pilihan raya umum diadakan. Berikutan itu sistem Parlimen dua Dewan yang mengandungi institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat dibentuk.

1959:
Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 11 September 1959. Dewan Rakyat dengan 104 orang ahli yang dipilih rakyat mula bersidang buat pertama kalinya pada hari itu. Dewan Negara yang mengandungi 38 orang ahli yang dilantik juga bersidang pada hari yang sama. Pada hari bersejarah itu bermulalah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di tanah air yang merdeka.

1961:
Usul untuk menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura oleh YTM Tunku Abdul Rahman diluluskan oleh Dewan Rakyat dan pada 18 Oktober 1961 pertemuan diadakan antara YTM Tunku dengan Perdana Menteri Great Britain di London. Kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penubuhan Malaysia.

1962:
Suruhanjaya Cobbold di bawah pimpinan Lord Cobbold ditugaskan untuk mengkaji pendapat rakyat Sabah dan Sarawak mengenai kemasukan negeri tersebut ke dalam Malaysia. Sebahagian besar rakyat negeri berkenaan bersetuju dengan konsep Malaysia dan Penyata Suruhanjaya Cobbold diterima.

1963:
Perjanjian Malaysia antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom 01 Great Britain dan Ireland Utara, Sabah dan Sarawak telah dicapai. Semua pihak bersetuju dengan terma Malaysia Agreement. Dewan


Undangan Sabah, Sarawak dan Singapura meluluskan resolusi yang membolehkan penubuhan Malaysia. Pengisytiharan Malaysia diadakan pada 16 September 1963.Dewan Rakyat ketika itu mempunyai 159 orang ahli iaitu
104 orang dari Tanah Melayu, 16 orang dari Sabah,24 orang dari Sarawak dan 15 orang dari Singapura manakala Dewan Negara pula mempunyai 50 orang ahli iaitu 28 orang mewakili 14 Dewan Undangan Negeri dan 22 orang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda Yang d;-Pertuan Agong III merasmikan pembukaan bangunan Parlimen berhampiran Tasik Perdana pada 2 November 1963.Parlimen pertama dibubarkan pada 1 Mac 1964 dan pilihan raya umum diadakan pada 25 Aprill1964.Bilangan kerusi Dewan Rakyat terus bertambah hingga kepada 222 kerusi pada Parlimen yang ke-12.

Semuga dengan maklumat ini, dapat menambahkan sedikit ilmu pengetahuan pada kita semua.


No comments:

Post a Comment